Berseri-seri pengantin indahnya perkahwinan bak Raja Sehari di hari yang penuh bersejarah, diserikan degan kehadiran ahli keluarga dan sahabat handai. Indah busana mempersonakan kedua mempelai yang kini membina bahtera bersama.
Persediaan yang dilakukan berbulan-bulan kini menunggu hari bersejarah kedua mempelai bersanding. Segala persiapan dilakukan bersama, jika ada pasangan yang tidak dapat meluangkan masa bersama, mereka akan cuba mengambil masa terluang tatkala cuti bekerja untuk bersama-sama mencari barang-barang untuk persiapan kahwin.
Siapa sangka si dia yang dulu pernah meluahkan perasaan, kini disambut untuk menjadi sebahagian dari hidup. Kerana di dalam islam itu sendiri mengharamkan aktiviti berpacaran, maka sebaiknya apabila kedua hati telah bersatu, ianya diikat dengan ikatan perkahwinan. Begitulah indahnya perkahwinan itu kerana digalakkan oleh syarak.
Sewaktu menginjak dewasa, kita tidak pernah terfikir pun untuk mengemudi bahtera bersama seseorang, yang kita tahu hanya belajar di sekolah kerana dihantar oleh ibu bapa. Namun apabila bertemu berlainan jantina di sekolah, kita pula sudah beralih ke usia akhir baligh, maka di situlah bibit-bibit cinta mula terbit, niat untuk berpasangan sudah mula hadir. Perasaan ingin menyintai dan dicintai mula menguasai fikiran.
Namun perjalanan masih jauh, sekolah perlu ditamatkan dahulu, menginjak ke usia semakin dewasa seiring pembelajaran akan beralih ke alam universiti, tatkala itu kita akan bertemu dengan lebih ramai calon untuk dijadikan pasangan, ada yang masih mampu bertahan tidak menjalin sebarang hubungan, sebaliknya bagi yang hati sudah mula berbunga-bunga, di sinilah tempatnya mencuba nasib.
Siapa kata tak boleh kahwin pada usia muda? di zaman universiti inilah, ada saja anak muda yang ingin menjaga diri mereka meminta agar ibubapa mengizinkan untuk mereka bernikah. Betapa indahnya perkahwinan, di usia muda ini pasangan yang telah bernikah akan menggunakan kesempatan sebagai suami isteri untuk bagi dorongan satu sama lain untuk berjaya menggenggam ijazah masing-masing.
Walaubagaimanapun, setiap bahtera yang dikemudi, tidak kisah jika masih di alam universiti atau sudah menginjak ke alam pekerjaan, keduanya sama akan melalui pelbagai ujian dan cabaran. Justeru ilmu berumah tangga perlulah dimiliki agar tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini kelak.
Ilmu ini biasanya bakal pasangan akan miliki apabila mereka menghadiri kursus perkahwinan, tetapi disebabkan kehidupan yang akan kita lalui mencecah puluhan tahun mendatang, maka banyak lagi saluran-saluran untuk menambah ilmu alam perkahwinan, antaranya melalui rancangan-rancangan bicara di televisyen, radio, di ruangan-ruangan artikel di laman-laman web tertentu, namun begitu awas! Jangan sampai tersalah pilih ruangan bual bicara toksik yang boleh membuatkan hubungan kita dengan pasangan menjadi buruk.
Sebagai pasangan bakal mempelai, masing-masing haruslah bersedia untuk menghadapi apa jua ujian yang bakal melanda. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan hubungan suami isteri. Namun ini bukanlah suatu pernyataan untuk menakut-nakutkan, sebaliknya sebagai peringatan lembut buat pasangan bakal mempelai. Bertolak-ansurlah dalam apa jua situasi, maka keharmonian rumahtangga akan terjaga.
Jika ada salah faham, berbincanglah sebaiknya, jika ada konflik, bertegurlah, berbicara, kerana jika masing-masing mendiamkan diri, konflik tersebut tak akan dapat di selesaikan. Hanya melalui perbincanganlah masalah dapat diselesaikan. Jika tidak juga mencapai kata putus, maka carilah pihak ketiga untuk menyelesaikan isu tersebut.
Jangan salah faham, orang ketiga bukanlah seperti rakan sekerja, lebih-lebih lagi yg berlainan jantina, sebaiknya dari golongan ahli keluarga atau golongan professional seperti kaunselor. Ini penting untuk memastikan tiada pula berlaku ade pihak mengambil kesempatan untuk menangguk di air yang keruh yang membawa kepada masalah yang lebih besar.
Dimana indahnya perkahwinan di sini jika kita membicarakan isu konflik? Ya, disinilah apabila kedua pasangan dapat kembali bersatu dan bertolak ansur satu sama lain, maka di situlah apabila rumahtangga tersebut terus semakin mengukuh hingga ke akhir hayat. Wallahualam.
Kenalkan kepada kenalan yang ingin melangsungkan perkahwinan
Tebus Saguhati